Agihan makanan di PKPD didakwa tak memuaskan


PUTRAJAYA digesa menyediakan bekalan makanan lebih berkhasiat kepada penduduk kampung yang dikenakan perintah sekatan keluar-masuk.

Adun Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata, makanan yang dibekalkan oleh pihak berkuasa di Sungai Lui, Hulu Langat yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) adalah “terlalu asas” dan tidak sesuai dengan sesetengah penduduk yang menghidap penyakit kronik.

“Jida diharapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyemak semula jenis bantuan makanan yang diagihkan agar sesuai dengan keperluan di kawasan terbabit.

“Penduduk Sungai Lui yang dikenakan PKPD tidak mahukan makanan mewah, hanya makanan segar yang berkhasiat seperti bawang, telur, sayur-sayuran dan daging,” katanya dalam satu kenyataan.

Dipetik laporan FMT, Edry memberitahu bahawa beliau menerima banyak aduan daripada pesakit diabetik dan tekanan darah tinggi,

Penduduk kawasan itu kini tegasnya bergantung pada NGO dan pejabat beliau bagi mendapatkan bekalan daging ayam dan telur.

Seorang ketua kampung tersebut yang dipetik laporan itu pula berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membekalkan penduduk dengan bantuan makanan seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran.

Beliau, yang enggan dikenali memberitahu mereka yang menghidap penyakit kronik akan menghindari makanan yang dibekalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Manakala seorang penduduk, Khadijah Baharudin mendakwa penduduk kekurangan minyak masak dan telur.

“Bila saya baca sesetengah hantaran di atas talian, ada yang kata JKM beri mencukupi, Tapi keadaan tak seperti yang dikatakan.” jelasnya.
 

Post a Comment

0 Comments