Ahli Parlimen tuntut benarkan dewan beroperasi


AHLI Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mengulangi gesaan agar institusi parlimen dibenar menjalankan fungsinya.

Gesaan itu dibuat susulan keputusan pentadbiran Muhyiddin semalam yang membenarkan sektor ekonomi beroperasi semula sepenuhnya.

"Parlimen sepatutnya dijadikan sektor yang dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

"Demokrasi serta amalan semak dan imbang parlimen kritikal kepada perjalanan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab," katanya melalui satu hantaran Facebook.

Dewan Rakyat dijadualkan bersidang pada 18 Mei depan, tetapi sesi dewan yang sepatutnya dijalankan 15 hari parlimen dipendekkan kepada satu hari sahaja dengan alasan penularan wabak koronavirus.

Sidang sehari itu juga akan membahaskan rang undang-undang dan perniagaan kerajaan, tetapi tidak akan ada sesi soal jawab lisan, pertanyaan bertulis, usul, dan ruang khas.

Keputusan pentadbiran Muhyiddin itu dikritik ahli parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sebelum ini, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata parlimen perlu bersidang sekurang-kurangnya dua hari.

Ia bagi membolehkan beberapa perbahasan penting termasuk berkaitan koronavirus dapat dijalankan. 

Tambah Anwar, persidangan itu juga boleh dijalankan menerusi persidangan melalui video.

“Boleh buat melalui siaran langsung dan ahli Parlimen masing-masing di rumah dan mendengar kalau mahu begitu. Sidang Parlimen bererti kita boleh berbahas.

"Saya faham, tak perlu minggu-minggu untuk bahas,” katanya lagi.

Sementara Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok  pula menyifatkan sidang sehari itu bertentangan dengan konsep demokrasi.

Ia juga jelasnya mengambarkan pentadbiran Muhyiddin tanpa rasa malu dan terang-terangan menunjukkan penghinaan terbuka terhadap peranan dan fungsi parlimen.

Post a Comment

0 Comments