PENGKHIANATAN yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tumbang berpunca individu yang tamak dan merasa tidak pernah cukup dengan apa yang dimiliki.
Demikian tegas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika ditemubual dalam sebuah rancangan yang disiarkan oleh saluran Bloomberg pada Selasa.
Tanpa menamakan mana-mana individu, kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu dipercayai merujuk beberapa pemimpin dari parti itu yang terlibat dengan langkah Sheraton bulan lalu.
“Sesetengah mereka tidak mempunyai rasa puas atau tidak pernah rasa puas dan mereka mungkin mahukan lebih dan itu saya rasa membawa kepada kekalahan HARAPAN,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, sebarang bentuk pengkhianatan terutama kepada mandat diberi rakyat tidak boleh diterima walau dalam apa juga keadaan pun.
Namun tegas beliau, pihaknya masih percaya dengan apa yang berlaku hari ini, HARAPAN akan tampil lebih kuat, malah beliau percaya prinsip kebaikan hati dikalangan pemimpin dan penyokong yang setia kepada perjuangan dibawakan gabungan parti dalam HARAPAN akan menjadikan Malaysia lebih baik.
"Dalam sebarang keadaan, pengkhianatan sukar diterima. Pengkhianatan tetap pengkhianatan.
“Tetapi tidak semuanya yang kalah kerana kita ada ramai lagi di antara kami yang percaya kepada prinsip kebaikan hati boleh menjadikan Malaysia yang lebih baik. Ini yang saya rasa dan saya perjuangkan selama ini,” tegasnya.
0 Comments