Pecat Marzuki, Tun M sanggah Muhyiddin


PERGOLAKAN dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat semakin menjadi-jadi dengan tindakan presidennya, Muhyiddin Yasin yang menamatkan perkhidmatan setiausaha agung parti itu.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan "bantahan terhadap pemberhentian Marzuki Yahya" yang menurutnya tidak sah dan wajar diketepikan.

Dr Mahathir melalui satu surat menegaskan Fasal 13.9 Perlembagaan Bersatu yang dijadikan alasan pemecatan itu sememangnya memperuntukkan kuasa atau tugas melantik setiausaha agung kepada presiden tetapi dengan syarat: "Selepas berunding dengan pengerusi parti."

"Maksud dan aplikasi berunding di dalam konteks ini bukan hanya setakat presiden memaklumkan pengerusi tetapi ianya mesti mencapai perbincangan yangbersungguh-sungguh antara presiden dengan pengerusi parti berkenaan urusan melantik pegawai-pegawai (tertinggi parti) tersebut," katanya.

Dr Mahathir turut berkata "presiden adalah pada setiap masa material" mesti berunding dengannya sebagai pengerusi parti sebelum apa-apa tindakan dan keputusan pemberhentian boleh dibuat.

"Di dalam situasi pemberhentian Marzuki Yahya daripada jawatan setiausaha agung bersatu tiada sebarang rundingan telah dilakukan antara Tan Sri (Muhyiddin) dengan saya selaku pengerusi parti," kata Mahathir lagi.

Terdahulu, Muhyiddin Yassin yang juga perdana menteri telah memecat Marzuki Yahya daripada jawatan setiausaha agung Bersatu.

Susulan 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan kejatuhan kerajaan HARAPAN, hubungan antara pengerusi dan presiden Bersatu itu menjadi renggang menyebabkan wujud dua kem di dalam Bersatu.

Post a Comment

0 Comments