Pastikan bekalan barang mencukupi, kawal harga - MCM


SEBUAH
badan pengguna menggesa pentadbiran Muhyiddin Yasin memastikan tidak berlaku gangguan ke atas barangan pengguna terutama bekalan makanan.

Badan tersebut yang menamakan diri mereka sebagai Gerakan Pengguna Malaysia (MCM) berkata, ia perlu bagi memastikan insiden pembelian panik seperti yang berlaku baru-baru ini dapat dihindari.

Justeru tegas mereka, pentadbiran Muhyiddin digesa bekerja rapat dengan pemain industri dalam bidang tersebut.

“Campur tangan segera perlu dibuat sekiranya terdapatnya sebarang tanda kurang bekalan, walaupun jika ia bermakna mengharamkan eksport barang keluaran asas,” kata jurucakap MCM, Ben Johl seperti dilapor FMT.

Johl berkata, langkah mengehadkan jumlah pembelian juga boleh dilaksanakan jika pengguna terus membeli dalam jumlah besar dan menyorok barang keperluan.

Beliau turut mencadangkan supaya pasukan penguat kuasa memberi tumpuan kepada pihak yang menyorok bekalan, sekali gus menangani isu menaikkan harga.

“Kerajaan boleh membenarkan masa jualan lebih panjang dan pergerakan bebas pembelian atas talian. Ini boleh membantu mengurangkan kesesakan di pasar raya.” katanya lagi.