PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menaikkan penilaian risiko global tertinggi terhadap penularan koronavirus.
Agensi berita antarabangsa AFP dalam laporanya berkata, tindakan itu dibuat selepas epidemik itu menular ke sub-Sahara Afrika selain mengakibatkan pasaran kewangan menjunam.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, agensi itu kini meningkatkan penilaian risiko penularan dan risiko impak Covid-19 ke tahap sangat tinggi pada peringkat global.
“Setakat ini, kita tidak melihat bukti virus itu menular secara bebas dalam komuniti. Ini bermakna, kita masih ada peluang untuk mengekang virus berkenaan,” katanya kepada pemberita.
Koronavirus atau Covid-19 juga dilapor telah merebak ke serata dunia sepanjang minggu lalu apabila muncul di setiap benua kecuali Antartika sekaligus menyebabkan banyak kerajaan dan perniagaan berusaha menghalang orang ramai daripada mengembara atau berkumpul di tempat sesak.
Ia sudah meragut lebih 2,800 nyawa dan menjangkiti lebih 84,000 orang di seluruh dunia yang kebanyakannya di China.
Penularannya yang pantas ke kawasan baharu turut telah menimbulkan kebimbangan.
Dalam tempoh 24 jam lalu, ia menjejaskan sembilan negara baharu dari Azerbaijan ke Mexico hinggalah New Zealand.
“Ini bukan masa untuk panik. Ia adalah masa untuk bersiap-siaga sepenuhnya,” kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menurut laporan itu lagi.
0 Comments