SEORANG Ahli Lembaga Pengarah Felcra Berhad disahkan positif koronavirus (Covid-19).
Felcra Berhad dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai perkara tersebut pagi tadi dan individu itu kali terakhir dilihat berada dalam bangunan Wisma Felcra pada 25 Februari lalu.
"Ketika ini, keadaan terkawal serta tiada kakitangan lain yang mengalami simptom berkaitan.
“Pihak syarikat telah mengenal pasti staf-staf yang mempunyai kontak rapat dengan individu berkenaan dan kesemua mereka kini sedang membuat ujian saringan kesihatan di hospital berdekatan.
“Sehingga kini, mereka masih di dalam 'self-quarantine' sehingga pihak hospital dapat memberi keputusan bagi ujian saringan tersebut," kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, Felcra Berhad memaklumkan bahawa aktiviti dan operasi di ibu pejabat syarikat itu dihentikan serta- merta hingga 6 Mac ini bagi kerja pembersihan dan sanitasi secara menyeluruh.
Semua staf ibu pejabat diarahkan untuk bekerja dari rumah dan dinasihatkan untuk tidak ke luar daerah supaya mudah untuk dihubungi.
Bagaimanapun katanya, semua operasi di peringkat wilayah dan kawasan diteruskan seperti biasa.
0 Comments