PENGASAS kicap terkenal jenama Jalen, Datuk Ab Jalil Long dilapor meninggal dunia pada usia 82 tahun.
Memetik laporan Bernama, Allahyarham dilapor menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar KPJ Puteri petang semalam.
Berita pemergiannya dikongsikan oleh pihak pengurusan Syarikat Jalen Sdn Bhd kepada umum menerusi satu hantaran dalam laman Facebook rasmi mereka, Kicap Jalen, malam tadi.
Berdasarkan hentaran itu, Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Taman Perkuburan Taman Kebun Teh di sini selepas waktu solat isyak.
Difahamkan, syarikat itu, Jalen Sdn Bhd memulakan operasi perniagaannya pada November 1981 sebagai Jalil Enterprise untuk membekalkan secara kontrak kicap yang diberi jenama Habhal.
Bagaimanapun, konrak telah ditamatkan pada November 1986, mengakibatkan syarikat terpaksa bergerak sendiri sebelum akhirnya berjaya memulakan era baharu pada Ogos 1988 dengan memasarkan kicap dengan nama baharu, Kicap JALEN di pasaran.
Ibu pejabat dan kilang Jalen beroperasi di Jalan Kempas Lama, Kampung Sinaran Baru, Skudai, di sini dan kini produk syarikat itu tidak hanya terikat kepada kicap semata-mata malah turut mencakupi sos tomato, sos cili, sos tiram, cuka, dan kordial berbagai perisa seperti oren, sirap ros, barli, laici dan lain-lain.