K'jaan akan tingkat hukuman buat pemandu mabuk


KERAJAAN
dilapor sedang merangka pindaan hukuman terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, antara hukuman yang dicadangkan ialah hukuman penjara 10 tahun sedia ada dinaikkan kepad 20 tahun dan hukuman denda sehingga RM100,000.

“Kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman bagi Seksyen 41 (Akta Pengangkutan Jalan 1987) ini bagi mereka yang telah menyebabkan kemalangan sehingga menyebabkan kematian apabila memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.

Lim berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi lima beradik yang kehilangan bapa mereka, Khairizul Mohamad Noor, 39, selepas dilanggar pemandu dipercayai mabuk pada kejadian Ahad lepas.

Ahli Parlimen Bagan meluangkan masa menyantuni lima beradik itu dan turut menyampaikan wang sumbangan kepada keluarga itu di kediaman mereka dekat Bagan Jermal.

Sebagai rekod, ketika ini hukuman mengikut seksyen berkenaan memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000.

Sementara itu. Lim turut menggesa semua rakyat negara ini agar mengambil tanggungjawab bersama untuk mengurangkan kadar kemalangan di negara ini yang merupakan antara tertinggi di dunia.

“Jadi, kita harus mendapat kerjasama daripada orang ramai sungguh pun kadar sebenarnya sudah menurun tetapi kita harap kita dapat mengurangkan kadar itu.

"Kita tidak mahu lihat hampir 7,000 korban nyawa berlaku hampir setiap tahun akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

Pada 9 Feb lepas, Khairizul meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya, Zuriana Hasan, 36, cedera parah dan masih koma di Hospital Seberang Jaya.

Motosikal yang ditunggang pasangan suami isteri itu dilanggar dari belakang oleh seorang lelaki dipercayai mabuk di Kilometer 140.2 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara.

Keluarga itu kini hilang tempat bergantung kerana sikap tidak bertanggungjawab pengguna jalan raya lain.
 

Post a Comment

0 Comments