Kanak-kanak tercampak atas jalan, polis cari Myvi biru


SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 18 nyaris maut setelah tercampak atas jalan.

Dalam kejadian di Kilometer 235.5 Lebuhraya PLUS Ayer Keroh-Senawang (arah utara) dekat Rembau semalam, kereta dipandu bapa kanak-kanak itu terbabit kemalangan setelah mengelak sebuah kenderaan lain yang difahamkan berlumba.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kemalangan pada 3.20 petang itu membabitkan tiga kereta.

“Kemalangan berlaku apabila pemandu kereta Honda Civic berusia 33 tahun gagal mengawal kenderaannya sebelum terlanggar penghadang besi di tengah lebuh raya ketika cuba mengelak kereta Perodua Myvi yang menukar lorong secara tiba-tiba.

“Kereta Honda Civic itu terbabas dan melanggar bahagian belakang sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi yang bergerak di lorong tengah," kata Anuar.

Susulan itu jelasnya, kanak-kanak itu tercampak dari kereta Honda dan terjatuh di atas lorong kanan lebuh raya.

Siang tadi, satu rakaman video mengenai kemalangan itu berlegar di media sosial.

Menerusi rakaman itu, pemandu dua kereta Perodua Myvi itu kelihatan berlumba dan menukar lorong sesuka hati sebelum kemalangan yang menyebabkan bayi itu tercampak.

Pengguna jalan raya lain segera memperlahankan kendeeraan sebelum seorang pemandu lori bergegas mendapatkan bayi berkenaan.

Difahamkan, kenak-kanak tersebut mengalmai cedera ringan dengan beberapa kesan luka di bahagian kepala.


Sementara itu, pihak polis kini sedang mengesan pemandu Perodua Myvi berwarna biru bagi membantu siasatan.

“Orang ramai atau pengguna lebuh raya yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Sarah Ismail di IPD Rembau dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
 

Post a Comment

0 Comments