Jasa Kevin Morais lawan rasuah dihargai


MENDIANG
Datuk Anthony Kevin Morais yang diculik dan dibunuh secara tragik pada September 2015 ketika menyiasat skandal rasuah dikaitkan dengan seorang bekas pemimpin negara tidak dilupakan.

Jasa Timbalan Pendakwa Raya itu dihargai melalui Anugerah Juara Antirasuah Antarabangsa Perdana 2020 disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir ketika pelancaran Yayasan Juara Antirasuah Antarabangsa Perdana (PIACCF) di Putrajaya malam tadi.

Dr Mahathir dalam ucapannya berkata anugerah itu adalah lambang penghargaan PIACCF kepada semua pegawai berani yang telah menderita dalam menegakkan integriti mereka.

“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada semua di seluruh dunia yang telah berkorban masa, nyawa dan komitmen dalam menamatkan ancaman rasuah,” katanya dipetik.

Mayat Kevin Morais ditemui disimen dalam sebuah tong drum beberapa hari selepas kehilangannya.

Sementara itu, Anugerah serupa turut disampaikan kepada Ketua Penyiasat Komisi Pembanterasan Rasuah Indonesia, Novel Baswedan.

Baswedan, telah disimbah asid pada 11 April 2019, menyebabkan kecederaan kekal di bahagian matanya.

Serangan yang dilakukan terhadapnya berikutan kes-kes sensitif  yang dikendalikannya terutama melibatkan ahli politik peringkat tinggi dan pegawai kanan polis di Indonesia.

Post a Comment

0 Comments