Fitnah: SU Akhbar MB Negeri Sembilan lapor polis


EMPAT pemilik akuan Facebook diadu kepada pihak berkuasa polis berhubung tindakan mereka menyebar fitnah dan kata-kata kesat terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Faiz Abdullah membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Tentera Semut, Sayap Kanan, Saadon Abd Salam dan Norshafinaz Nor Azman di  Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban kira-kira 9.42 pagi tadi.

Faiz berkata laporan itu bagi menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM), melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun terbabit yang mengeluarkan kenyataan melampau, terhadap pemimpin utama negeri ini berkenaan isu solat Subuh.

"Saya mewakili Menteri Besar membuat laporan polis terhadap empat pemilik akaun Facebook berkenaan, yang didapati memuat naik status berunsur fitnah yang saya sifatkan sebagai tuduhan melampau.

"Saya pernah membuat laporan polis atas fitnah sama yang dilemparkan terhadap Menteri Besar pada 8 Feb tahun lalu. Selepas setahun, ia ditimbulkan semula pihak lain sedangkan pada kali pertama, Menteri Besar sudah pun memaafkan perbuatan mereka,” katanya.

Pihaknya kesal apabila fitnah terhadap pemimpin utama negeri itu, semakin menjadi-jadi sekali gus menimbulkan persepsi negatif.

Tindakan sewenang-wenangnya menabur fitnah itu juga tegasnya seolah-olah tindakan mencabar undang-undang

"Bagi saya tuduhan yang dilemparkan terlalu berat. Misalnya Facebook Tentera Semut yang kata Menteri Besar gadai maruah agama dengan nilai yang sikit, kerana ceritakan solat Subuh jam 7.30 pagi dan beritahu 50 peratus umat Islam negeri ini tak solat lima waktu.

"Pemilik akaun Saadon Abd Salam yang memberi komen atas kenyataan Tentera Semut itu pula kata mungkin Menteri Besar penganut agama majusi kerana jam 7.30 pagi, penganut agama itu menyembah matahari,” katanya. 

Dalam pada itu, Faiz turut menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu terhadap berita atau maklumat yang diterima, sebelum menyebarkannya atau memberi komen. 

Post a Comment

0 Comments