Anggota bomba cedera dalam operasi padam kebakaran


EMPAT
anggota bomba cedera yang memadam kebakaran tiga buah rumah kedai dua tingkat di Lebuh Carnavon, Pulau Pinang malam tadi dilapor cedera selepas ditimpa dinding.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saadon Mokhtar berkata mereka yang cedera terdiri daripada  seorang anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dan tiga anggota daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang membantu memadamkan kebakaran tersebut.

"Ketika mereka sedang melakukan semburan dinding bahagian tepi bangunan, tiba-tiba ia (dinding) runtuh sebelum menghempap mereka.

“Alhamdulilah, kecederaan yang mereka alami tidak serius dan semua empat anggota berusia lingkungan 30-an itu telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan," katanya.

Difahamkan semua mereka berada dalam keadaan stabil.

Semalam, orang ramai yang berada di kawasan kejadian membantu mengeluarkan warga emas yang berada di premis berhampiran premis yang terbakar itu. 


Katanya pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu kira-kira 8.58 malam dan sebaik tiba mendapati api sedang marak di kedai kertas, kedai emas dan kedai alkohol itu.

Tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke sebuah pusat jagaan orang tua yang terletak di bangunan bersebelahan.

"Sebanyak 73 warga emas di situ berjaya dikeluarkan daripada premis tersebut oleh petugas di situ serta bantuan orang ramai yang berada di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata 70 pegawai dan anggota bomba bersama tiga jentera daripada BBP Lebuh Pantai, Jalan Perak dan Bagan Jermal dibantu PBS terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu yang selesai sepenuhnya kira-kira 12 tengah malam.

Sementara itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik mendapat maklumat mengenai kebakaran itu, mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak bomba kerana berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke pusat jagaan orang tua tersebut.

Post a Comment

0 Comments