SEORANG pemimpin yang pernah dikaitkan dengan penubuhan kerajaan 'pintu belakang' didakwa sebagai individu bertanggungjawab menjadi orang tengah membawa pemimpin kanan PAS bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Perkara itu didedahkan bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Nor secara terbuka seperti dilapor FMT.
Katanya, Azmin turut terlibat dengan banyak lagi gerakan yang dilakukannya bagi menghalang Anwar menjadi perdana menteri.
“Saya ke Shah Alam 2-3 hari lepas, Azmin bawa Dr Samsuri (Mokhtar) menteri besar Terengganu jumpa dengan Dr Mahathir sekali atau 2 kali.
“…orang tanya saya mana awak tahu. Hari ini saya beritahu, saya tahu sebab Azmin bagi tahu saya, malah Azmin bagi tahu saya lebih banyak daripada itu, tapi saya simpan dulu,” katanya.
Ezam sebelumnya berucap pada program Kupasan Politik Semasa anjuran Gerakan Reformasi Perform di Shah Alam semalam.
Sementara itu, memetik laporan portal serupa, Ezam juga mendakwa Azmin merupakan individu yang memulakan langkah untuk merosakkan proses peralihan kuasa antara Mahathir dengan Anwar
Malah gerakan Kongres Maruah Melayu sebelum iniyang dihadiri perdana menteri, Azmin dan beberapa pemimpin pembangkang juga dianggap percubaan untuk menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.
“Bab cerita Melayu, panggillah Anwar, tapi tak panggil. Anwar tetap tak gelabah, dia tak berganjak. Malah dia sebut, saya tidak akan berganjak daripada perjuangan reformasi dan tidak akan tunduk kepada permainan politik kaum sempit yang akan mengalihkan fokus kita untuk melakukan reformasi melawan kelompok elit, rasuah dan menyeleweng,” katanya.
Sebelum ini sebuah portal berita berbahasa Inggeris melaporkan 138 ahli Parlimen (MP) telah menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menyokong Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal pentadbiran kerajaan semasa.
Portal itu melaporkan antaranya ia melibatkan 18 MP PAS, 26 MP PKR, sekurang-kurangnya 13 daripada 39 MP Umno dan 26 MP PPBM, malah PAS sebelum ini berkata, parti itu akan membawa usul percaya terhadap kepimpinan Mahathir sebagai perdana menteri pada persidangan Parlimen.
Bagai ramai penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) tindakan dilakukan itu dilihat satu percubaan menggagalkan peralihan kuasa seperti dipersetujui sebelum ini.
0 Comments