Lim Kit Siang gesa PM berhenti main politik


PEMIMPIN veteran, Lim Kit Siang menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin Yassin untuk berhenti bermain politik.

Dalam satu kenyataan, Kit Siang menegaskan bahawa PN wajar menumpukan tenaga untuk menyalurkan semua sumber bagi membantu melawan wabak koronavirus (Covid-19) di Sabah.

Kerajaan jelasnya dilihat tidak menyalurkan semua sumber yang ada untuk membantu usaha memerangi Covid-19 di Sabah yang kini menjadi pusat penularan utama gelombang ketiga Covid-19 sebaliknya dilihat terus sibuk dengan perebutan kuasa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menyalahkan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman atas penularan gelombang ketiga wabak itu di Sabah dan Malaysia.  

"Saya akan katakan, jika ada sesiapa di Sabah yang perlu bertanggungjawab terhadap gelombang ketiga wabak ini, orang tersebut adalah Musa.

"Adakah Musa bersetuju bahawa perkara ini adalah satu akibat tindakan politik tidak bertanggungjawab yang menghampiri perbuatan kecuaian jenayah?.

"Ini kerana Musa merupakan Ketua Menteri Sabah selama 15 tahun, daripada tahun 2003 sehingga 2018 tetapi beliau telah meneruskan dasar yang menyebabkan Sabah kekal sebagai negeri termiskin dalam negara, baik dari segi kadar kemiskinan dan juga pembangunan infrastruktur di negeri tersebut ," katanya.

Namun begitu Kit Siang berkata, beliau tetap berpegang dengan pendapat bahawa punca krisis Covid-19 di Malaysia menjadi besar susulan Langkah Sheraton pada Februari lalu yang menyebabkan berlakunya gelombang kedua dan ketiga wabak tersebut.

Sebagai rekod, gelombang ketiga Covid-19 dilapor meningkat mendadak pada 8 September apabila 100 kes baharu dilaporkan. Pada 18 Oktober kes baharu mencatatkan angka baru jangkitan harian tertinggi dengan 871 kes.

Muhyiddin digesa berhenti main politik


Atas usaha rakyat dan Kementerian Kesihatan, Lekuk penularan Covid-19 sebelumnya berjaya diratakan. Bagaimanapun, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan 26 September lalu menyaksikan rakyat sekali lagi berdepan perintah sekatan dengan kes keseluruhan meningkat sehingga hampir 25,000 kes dan lebih 200 kematian.


"Peningkatan jangkitan yang berlaku di Sabah sangat mengejutkan iaitu lebih daripada 19 kali ganda dan peningkatan kadar kematian lebih daripada lapan kali ganda dalam tempoh kurang daripada dua bulan.

"Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pula mengatakan yang penularan Covid-19 di dan dari Sabah tertangguh akibat sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan," kata Kit Siang.

Najib salahkan menteri Bersatu


Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Najib Razak pula menyalahkan parti Pribumi Bersatu Malayu (Bersatu) di atas berlakunya gelombang ketiga.

Najib mendakwa Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak mahu mendengar nasihat Menteri Kesihatan dari Umno apabila untuk melaksanakan kuarantin wajib punca wabak itu semakin menular.

Manakala Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin tegasnya gagal mengasingkan banduan dengan betul atau mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah menyebabkan berlakunya beberapa kluster jangkitan di pusat tahanan di Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

“Keputusan MKN untuk mula-mula tidak mewajibkan kuarantin di pusat kuarantin kerajaan bagi mereka yang pulang dari luar negara menyebabkan kluster Sivagangga berlaku di Kedah.

“Kegagalan Menteri Bersatu untuk mengasingkan tahanan dengan SOP yang sepatutnya juga telah menyebabkan penularan teruk berlaku di Sabah dan beberapa lagi pusat tahanan di Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

“Jika kesilapan-kesilapan ini tidak berlaku, tidak wujudnya gelombang ketiga Covid ini di Malaysia,” kata Ahli Parlimen Pekan itu dalam satu hantaran Facebooknya.

Post a Comment

0 Comments