Bank China lakukan pembasmian virus terhadap wang kertas


CHINA
mengambil pendekatan lebih drastik dalam menangani penularan wabak koronavirus yang telah membunuh lebih 1500 nyawa dan menjangkiti 66,492 di negara itu sahaja.

Keputusan mengasingkan wang kertas sudah digunakan dan melakukan pembasmian kuman keatasnya diputuskan Bank Negara China.

Pihak berkuasa kewangan itu dalam satu sidang media memberitahu, mereka menggunakan cahaya ultraungu atau suhu tinggi untuk membasmi kuman pada wang kertas Yuan sebelum mengasingkan dan menyimpan kembali wang tunai itu selama tujuh hingga 14 hari.

Bagaimanapun, tempoh pengasingan sebelum ia digunakan semula bergantung kepada tahap keseriusan wabak di wilayah terbabit.

Timbalan Gabenor Bank Negara China, Fan Yifei berkata, bank juga digesa untuk menyediakan wang kertas baharu kepada pelanggan.

Sebelum sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini, bank pusat melakukan pengeluaran kecemasan wang kertas baharu sebanyak empat bilion Yuan (RM2.3 bilion) ke wilayah Hubei yang juga pusat wabak itu.

"Langkah ini bertujuan untuk menjamin keselamatan dan kesihatan orang ramai apabila menggunakan wang tunai," katanya dipetik.

Meskipun begitu, impak ke atas usaha membasmi kuman pada wang kertas masih belum jelas memandangkan sejak beberapa tahun lalu rakyat China lebih memilih untuk menggunakan pembayaran mudah alih berbanding wang tunai.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Covid-19 boleh disebarkan melalui objek tercemar selain titisan dan kontak langsung dengan pesakit yang dijangkiti.