WAKTU solat subuh untuk seluruh negeri Perak ditambah lapan minit daripada waktu sedia.
Timbalan Mufti negeri Datuk Zamri Hashim melalui satu kenyataan berkata, penambahan waktu itu bakal berkuat kuasa mulai esok, Sabtu, 18 Januari 2020.
Tambah beliau, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah agar waktu subuh bagi seluruh negeri menggunakan parameter 18 darjah di bawah ufuk berbanding 20 darjah di bawah ufuk yang ditetapkan seperti sebelum ini.
Menurut Zamri, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah membuat keputusan bahawa hukum solat subuh yang dilaksanakan sebelum perubahan itu adalah sah dan tidak perlu diqada.
"Ditegaskan juga, perubahan ini hanya melibatkan waktu subuh sahaja, tanpa melibatkan waktu-waktu solat yang lain.
"Orang ramai boleh merujuk laman sesawang atau laman Facebook rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak bagi mendapatkan waktu solat subuh terkini dan maklumat lanjut mengenai perubahan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kebanyakan negeri antaranya, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor telah menguatkuasa waktu solat baharu itu.
Terdahulu, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) melalui mesyuarat yang diadakan pada Vovember lalu menyarankan waktu solat subuh dianjak 8 minit.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, menegaskan keputusan adalah berdasarkan penyelidikan komprehensif selama setahun oleh jabatan itu bersama pakar dari Universiti Malaya, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Teknologi Mara dalam menentukan hukum nilai altitud matahari di bawah ufuk bagi penentuan awal waktu solat subuh di negara ini.
0 Comments