Mahkamah kekal 9 pertuduhan terhadap Azeez Rahim


MAHKAMAH RAYUAN menolak permohonan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadapnya.

Panel tiga hakim diketuai Kamaludin Md Said bersama Abu Bakar Jais dan Che Mohd Ruzima Ghazali secara sebulat suara mengekalkan sembilan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram ke atas bekas pengerusi Tabung Haji (TH) itu setelah mendapati pertuduhan terhadapnya tidak cacat.
 
Dalam prosiding sama, hakim turut membenarkan permohonan Azeez untuk membatalkan empat tuduhan pengubahan wang haram kerana pertuduhan tidak menyatakan lokasi sebenar kesalahan dilakukan dan hanya dinyatakan di Lembah Klang.

Azeez, 55, didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak serta Kedah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM13.9 juta yang didakwa diterimanya daripada Menuju Asas Sdn Bhd.

Dia merayu terhadap tuduhan itu, dengan alasan bahawa ia dilakukan secara mala fide (niat jahat).

Panel hakim tolak alasan diberi Azeez Rahim
Walau bagaimanapun panel hakim tidak bersetuju dengan hujahan Azeez bahawa pertuduhan yang difailkan terhadapnya dilakukan dengan niat jahat malah pendakwaan terhadap Azeez bukan pendakwaan politik.

Sehubungan itu Mahkamah memerintahkan perbicaraan Azeez diteruskan di hadapan Mahkamah Sesyen dan sebutan kes ditetapkan pada 7 September ini.

Setakat ini mahkamah telah mendengar keterangan tujuh saksi pendakwaan pada perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020.

Post a Comment

0 Comments