Rafizi: identiti Zainab terjawab sendiri jika skandal LCS disiasat

 



TIMBALAN Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli menegaskan bahawa isu identiti sebenar Zainab Mohd. Salleh bakal terjawab jika pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).

Bercakap kepada media ketika hadir ke IPD Polis Sentul untuk diambil keterangan susulan dakwaan fitnah berkaitan pendedahannya berhubung projek LCS baru-baru ini, Rafizi berkata laporan siasatan dalaman projek LCS pada muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 juga secara jelas menyebut wanita itu adalah isteri kepada Abd. Latiff.

Malah pihaknya juga membuat kajian dan latar belakang secukupnya mengenai kehilangan wang projek LCS sehingga mengaitkan skandal itu kepada sebuah syarikat yang dimiliki Zainab.

“Kita telah melalui proses ini sama seperti kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn. Bhd.

“Pada mulanya mereka menafikan namun apabila SPRM dan PDRM menyiasat dengan bidang kuasa yang ada sehingga dapat menjejaki wang sebagainya dan soal Zainal akan terjawab sendiri,” katanya.

Rafizi sebelum ini mendakwa, Zainab merupakan isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Abdul Latiff Ahmad.

Abdul Latiff yang juga merupakan bekas timbalan menteri pertahanan ketika projek terbesar tentera laut itu dimulakan.

Selain Zainab, Rafizi mendakwa Latiff turut terlibat dengan syarikat palsu yang ditubuhkan untuk menjadi pembekal alat ganti dalam projek pembinaan LCS.

Sementara itu tegas Rafizi rakyat tidak seharusnya terlupa bahawa isu ‘kehilangan’ wang  dianggarkan berbilion ringgit untuk projek itu sebenarnya lebih penting berbanding identiti Zainab.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan susulan satu laporan polis dibuat Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan perolehan kapal tempur LCS.

Siasatan dijalankan sama seperti skandal 1MDB
“Saya menghormati pihak berkuasa perlu menjalankan tugas mereka namun saya harap satu lagi laporan dibuat Akmal Nasrullah dapat dipercepat siasatan.

“Pihak berkuasa kena imbangi sementara laporan mahu mengecilkan isu ini sama ada Zainab isteri dia (Abd. Latiff) berbanding isu rakyat yang lagi besar iaitu berbilion ringgit wang telah disakau sehingga projek kapal perang kita tergendala,” tegas bekas Ahli Parlimen Pandan itu.


Post a Comment

0 Comments