Tertekan minyak, kereta langgar tiga pagar


SEORANG warga emas cedera selepas kereta dipandunya merempuh tiga pagar rumah di Taman Bukit Bendera Mentakab, Pahang.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu berlaku ketika pemandu terbabit hendak ke bandar Mentakab.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata susulan kejadian itu  siasatan dijalankan mengikut Peraturan 10 RLN166/59.

"Semasa mengundurkan kenderaan, pemandu tertekan minyak dan melanggar pagar rumah bernombor 22.

"Apabila hendak ke hadapan, pemandu tertekan lagi minyak dan melanggar pagar serta sebuah kereta yang berada di dalam pagar rumah bernombor 21 dan pemandu mengundurkan semula keretanya sebelum melanggar rumah bernombor 22 sekali lagi.

"Selepas itu, pemandu meneruskan perjalanan dan melanggar pula pagar rumah bernombor 19," katanya dalam satu kenyataan.

Ketika kejadian, ketiga-tiga rumah terbabit tiada penghuni.

"Warga emas terbabit mengalami kecederaan belakang akibat kejadian dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk rawatan selanjutnya," jelasnya.

Post a Comment

0 Comments