WABAK koronavirus kini dianggap telah menular ke seluruh wilayah China.
Memetik laporan Sinar, Tibet, wilayah yang berada di bawah pentadbiran kerajaan China dan direkodkan sebagai bebas wabak sebelum ini telah mencatatkan kes positif koronavirus.
Dengan perkembangan terkini ini, semua wilayah di negara itu meliputi wilayah autonomi, wilayah pentadbiran khas (Hong Kong dan Macau) dan majlis perbandaran di seluruh China kini dijangkiti wabak yang menyebabkan pneumonia tersebut.
Sebagai rekod, wabak ini pertama kali dikesan di Wuhan akhir Disember lalu, jumlah korban direkodkan kini mencecah 170 orang dengan 7,711 kes jangkitan.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) turut melaporkan kes kematian tertinggi dalam tempoh 24 jam yang dilaporkan ialah sebanyak 38 kematian .
Sementara itu, 81,000 individu turut berada di bawah pemerhatian pihak berkuasa kesihatan.
Kes jangkitan di Tibet itu telah meningkatkan lagi kebimbangan tentang bagaimana koronavirus itu mudah merebak terutamanya apabila individu tidak menunjukkan sebarang simptom atau asimptomatik.
Tibet pada Selasa lalu mengumumkan penutupan kesemua pusat pelancongan dan mana-mana pelancong yang memasuki Tibet kini perlu mendaftar dengan pihak berkuasa serta dikuarantin selama 14 hari.
Dalam perkembangan lain, pemerhati antirasuah China menegaskan ia akan menghukum mana-mana pegawai yang tidak melaksanakan langkah memerangi penularan koronavirus itu secara efektif.
Suruhanjaya Pusat untuk Pemeriksaan Disiplin (CCDI) memberitahu hukuman tegas juga akan dikenakan terhadap mereka yang gagal menjalankan tugas dan menyalahgunakan dana dan peralatan penyelamat.
0 Comments