SEORANG bapa bersama anak perempuan berusia tiga tahun rentung dalam kemalangan berhampiran Kepala Batas, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan membabitkan kenderaan Toyaot Alphard yang terbakar di Kilometer 119.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara kira-kira jam 10 pagi.
Seorang wanita yang juga isteri kepada pemandu kenderaan tersebut bagaimanapun dilapor selamat dalam kejadian itu.
“Difahamkan, kenderaan pelbagai guna (MPV) itu dinaiki tiga beranak sebelum terbabas dan terbakar.
“Dua mangsa iaitu seorang lelaki dan anak perempuannya berusia tiga tahun didapati rentung di dalam kenderaan itu, manakala isteri lelaki terbabit berjaya menyelamatkan diri.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat. Maklumat lanjut mengenai kejadian ini akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam kenyataan.
BACA: Pengasas Suzzy Helmets maut kemalangan
BACA: Pengurus Marrybrown maut dihempap motosikal
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saadon Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran itu pada 9.58 pagidan sepasukan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas dikejarkan ke lokasi.
“Kenderaan mungkin melanggar penghadang jalan, terbabas dan terbakar di situ. Ia terbakar 100 peratus,” kata Saadon.
Menurutnya, selepas api dipadamkan dan pemeriksaan dibuat menemui dua mangsa yang rentung di dalam kenderaan.
0 Comments