BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad disifatkan sebagai seorang yang tidak ikhlas untuk bersama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyertai usaha Pakatan Harapan (HARAPAN) menumbangkan pemerintahan UmnoBN.
Senator Dewan Negara, Yusmadi Yusoff berkata begitu dipetik laporan Malaysiakini.
Kata Yusmadi, kalaupun tidak ikhlas dalam persahabatan, sekurang-kurangnya Dr Mahathir Mohamad boleh menjadi negarawan yang membahagiakan negara.
“Tun (Mahathir) sudah terbukti tidak ikhlas dalam kerjasama (dengan Anwar).
"Jadi saya cadangkan dia tidak perlu lagi terlibat dalam politik kepartian sebaliknya mengulas isu seperti kemanusiaan dan kenegaraan," katanya menurut laporan itu.
Bekas Ahli Parlimen Balik Pulau itu sebelumnya mengulas kenyataan Dr Mahathir yang berkata, Anwar bersikap kritikal terhadapnya dan enggan memberi sokongan kepadanya.
"Selepas saya mengaturkan pembebasan beliau dan pengampunan diraja, dia (Anwar) tidak nak sokong saya.
"Dia pusing jumpa semua orang. Jumpa raja-raja, jumpa orang asing, bukan sokong saya," kata Mahathir.
Berbanding Mahathir, Yusmadi mendedahkan bahawa Anwar tidak pernah mengeluarkan kata-kata yang memburukkan Mahathir.
"Jika ditanya hubungannya bersama Tun, Anwar secara konsisten beri pandangan positif dan berkata ia dibuat demi kepentingan negara.
“Maksud saya, Anwar berjiwa besar dan sentiasa memberikan pandangan lebih positif terhadap kerjasama tersebut berbanding Tun yang memfitnah Anwar dengan berkata tidak memberikan kerjasama,” katanya lagi.
![]() |
Mahathir digesa contohi Habibie |
Pakatan itu kemudian berjaya mengambil alih pentadbiran negara sebelum kerajaan yang terbentuk dengan mandat rakyat itu dirobohkan sekumpulan yang dianggap pengkianat pada akhir Feb lalu.
Kejatuhan HARAPAN dan perpecahan Bersatu menyaksikan Mahathir membawa haluan sendiri dan terpisah daripada pakatan berkenaan.
Mahathir sebelum ini berusaha untuk sekali lagi diangkat menjadi Perdana Menteri sekiranya HARAPAN dapat mengambil semula mandat, namun ia tidak dipersetujui Anwar dan parti dipimpinnya.
Sementara itu, Yusmadi menasihatkan Mahathir wajar belajar untuk menjadi negarawan seperti Habibie.
“Jadilah seorang negarawan seperti yang ditunjukkan oleh pemimpin jiran seperti BJ Habibie yang sentiasa membahagiakan watan dan dikenang zaman,” katanya dipetik laporan itu.
0 Comments