PLO dakwa Amerika mahu jadikan Palestin kanton Israel

 
PERTUBUHAN Pembebasan Palestin (PLO) mendakwa Amerika Syarikat (AS) cuba menjadikan taraf negara Palestin pada masa akan datang sebagai kanton yang dikuasai Israel.

Rancangan jahat sekutu Israel itu didedahkan anggota Majlis Eksekutif PLO, Hanan Ashrawi seperti dilapor agensi berita China Xinhua.

“Pentadbiran AS ingin mengubah Palestin kepada kanton-kanton kecil dalam entiti yang berada di bawah kuasa Israel.

“AS adalah rakan subahat pendudukan Israel di wilayah Palestin, dengan mengambil langkah-langkah unilateral termasuk menggugurkan isu pelarian Palestin, semdan, Baitulmaqdis dan menghalalkan aktiviti petempatan yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa," katanya.

Tambah Ashrawi, perjanjian damai yang dianjur AS, yang dikenali sebagai "Perjanjian Abad ini," tidak akan membawa ke arah kedamaian, keselamatan atau kestabilan.

Ia jelasnya kerana pentadbiran AS "hanya mengambil kira kepentingan Israel."

Tambahnya pengumuman berulang kali AS mengenai satu pelan perdamaian adalah percubaan untuk "menghalang mana-mana pihak lain daripada mengemukakan satu inisiatif politik bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel."

Pada Isnin, Penasihat Keselamatan Negara AS Robert O'Brien berkata pelan damai Timur Tengah yang dinantikan sejak sekian lama mungkin dibentangkan menjelang pilihan raya Israel pada Mac.

Post a Comment

0 Comments