TIGA kru pengendali sebuah pesawat pengebom air terbunuh apabila pesawat yang mereka naiki terhempas dalam misi memadam kebakaran di barat daya Sydney semalam.
Pesuruhjaya Jabatan Bomba Luar Bandar New South Wales (NSW) Shane Fitzsimmons berkata, pihak berkuasa terputus hubungan dengan pesawat C-130 Hercules milik Kanada yang beroperasi dalam wilayah Snowy Monaro sejurus sebelum jam 1.30 petang waktu tempatan semalam.
Tambah Fitzsimmons, ketiga-tiga kru yang maut adalah merupakan anggota bomba pakar dari Amerika Syarikat (AS), yang dihantar membantu memadam kebakaran hutan yang buruk di Australia.
"Laporan awal membayangkan bebola api besar terbentuk apabila pesawat itu terhempas, Ada beberapa anggota bomba dan kru di tempat kejadian berusaha untuk membendung kebakaran,” katanya.
Susulan insiden itu, bilangan kematian dalam kebakaran hutan di Australia sekurang-kurangnya 32 sejak krisis itu bermula September lalu.
Sementara itu, pihak berkuasa masih belum mengetahui punca nahas, tetapi Fitzsimmons menyatakan sebelum ribut kuat menyukarkan usaha untuk menerbangkan pesawat tangki air yang besar.
Syarikat Kanada Coulson Aviation yang memiliki pesawat itu, menghentikan operasi pesawat tangki air lainnya dan berusaha untuk memadamkan kebakaran di negeri-negeri New South Wales dan Victoria sementara menunggu reviu bagi pesawat.
Ketua Menteri NSW Gladys Berejiklian berkata, nahas itu mengetengahkan bahaya yang dihadapi anggota bomba dalam usaha memadamkan kebakaran besar di tenggara Australia.
0 Comments