ORANG awam menemui mayat seorang lelaki dalam sungai berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Lembah Subang semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata sebaik penemuan itu dilaporkan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya dipanggil ke lokasi bagi membantu menaikkan mayat berkenaan.
Mayat lengkap berpakaian itu yang terapung di permukaan dipercayai mangsa kemalangan susulan penemuan sebuah motosikal pagi tadi.
“Kira-kira jam 5.30 pagi tadi, seorang anggota tentera menemui motosikal jenis Yamaha LC ketika melalui Lebuhraya NKVE berhampiran Menara Korporat PLUS dan mengesyaki motosikal itu terbabit kemalangan namun tidak menemui mangsa.
“Pengadu kemudian membawa motosikal terbabit ke sebuah stesen minyak di lebuh raya itu arah ke Damansara kerana bimbang ia akan menghalang lalu lintas sebelum melaporkan perkara itu kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu tambah Mohd Zani, hasil siasatan dijalankan, mangsa dikenal pasti sebagai Eshanso Koong, 37, berasal dari Bukit Beruntung, Rawang dan bekerja sebagai pemandu lori.
Tambahnya siasatan diteruskan bagi memastikan punca sebenar kejadian selain memohon bantuan orang ramai yang melihat kejadian tampil menyalurkan maklumat kepada polis.
“Saksi boleh menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Mohd Nazreen Shaharuddin di talian 010 2105101,” katanya melalui kenyataan tersebut.
0 Comments