KERAJAAN Malaysia bersiap sedia memindahkan 220 rakyat Malaysia yang berada di Iran dan Iraq.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas susulan ketegangan yang tercetus di Asia Barat.
Mesyuarat khas itu sebelumnya dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin bersama pelbagai agensi bagi membincang dan menilai perkara berkaitan konflik tersebut.
“Kami membuat persiapan sekiranya perlu diadakan pemindahan...pada masa ini, kita ada 58 rakyat Malaysia yang berada di Iran yang separuh daripada mereka adalah pelajar.
“Seramai 162 orang lagi di Iraq, majoritinya adalah kakitangan Petronas dan beberapa orang pensyarah,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin berkata kementeriannya juga sudah mengarahkan kedutaan yang berhampiran dengan negara konflik berkenaan untuk bersiap sedia sekiranya perlu mengadakan proses pemindahan.
“Sesiapa yang berada di sana harus sentiasa berhubung dengan kedutaan,” katanya.
Ketegangan di Asia Barat kian meruncing susulan kematian Qassem Soleimani, komander tertinggi tentera elit Iran, yang terbunuh dalam serangan dron oleh Amerika Syarikat berhampiran lapangan terbang Baghdad pada awal pagi Jumaat lalu.
Kerajaan sebelum ini mengeluarkan nasihat agar rakyat di negara ini menangguhkan rancangan sekiranya mahu melawat negara terbabit.
0 Comments