Anggota Rabbani dimasukkan ke Hospital


ANGGOTA
kumpulan Rabbani, Nazrul Azhar Tamrin, 44, dimasukkan ke Hospital Selayang pada Rabu ekoran masalah kesihatan.

Suhu badan Nazrul sebelumnya dilapor meningkat ketika sedang melakukan rawatan dialisis, ketua kumpulan itu, Azadan Abdul Aziz berkata, Nazrul diletakkan di bawah pemerhatian doktor.

"Setakat ini, doktor maklumkan bahawa badannya dalam keadaan lemah. Tapi, tekanan darah dan paras gulanya semakin stabil. Namun, doktor juga mengesahkan bahawa ada jangkitan kuman dalam paru-parunya.

"Jadi, mereka khuatir sekiranya jangkitan itu merebak dan akan menjangkiti organ tubuh yang lain," katanya dipetik.

Menurut Azadan lagi, apa yang menimpa Nazrul amat memberi kesan kepada anggota yang lain.

"Kami umpama satu keluarga dan Nazrul seperti tulang belakang Rabbani. Ketika dia masih sihat, dialah yang banyak menguruskan pelbagai hal berkaitan kumpulan kami.

"Jadi, apabila dia sakit, kami semua rasa sangat terkesan dan ini masanya untuk kami membantunya dan keluarga.

Sehubungan itu, Azadan kini berbincang dengan rakan-rakan anggota Rabbani untuk mengadakan program tabung kutipan untuk membantu Nazrul.

"Kami akan adakan satu program kutipan sumbangan yang sedikit sebanyak dapat membantunya untuk menampung kos rawatan," katanya.
Saya mohon supaya peminat-peminat sentiasa mendoakan kesejahteraan kesihatannya dan semoga Allah berikan keajaiban dan sembuhkan penyakitnya.

Difahamkan, sejak tiga tahun lalu, Nazrul yang juga bapa kepada enam anak itu kerap berulang-alik ke hospital untuk menjalani rawatan masalah buah pinggangnya. 

Post a Comment

0 Comments