Jurukimpal rentung kilang besi meletup


SEORANG warga Myanmar yang juga merupakan jurukimpal bengkel pembuatan jeriji besi di Taman Teknologi Cheng (TCC), Melaka rentung dalam kebakaran.

Dalam kejadian pagi semalam, turut tercedera adalah rakannya, seorang warga tempatan yang bekerja di bengkel sama.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkifli Nordin berkata, bengkel terletak di lot tepi kawasan itu didapati terbakar dipercayai akibat letupan ketika mangsa berusia 38 tahun bersama rakannya berusia 28 tahun sedang menjalankan kerja-kerja kimpalan.

Susulan itu, sebanyak dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dan Ayer Keroh digerakkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada jam 9.02 pagi.

"Rakan mangsa yang melecur 90 peratus di badan berjaya diselamatkan.

"Mayat mangsa yang rentung dapat dikeluarkan setelah operasi tamat jam 10.58 pagi," katanya dalam satu kenyataan.

Zulkifli berkata, dalam kejadian sama, seorang wanita berusia 23 tahun iaitu isteri kepada lelaki warga Myanmar tersebut turut cedera ringan.

"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Post a Comment

0 Comments