Koronavirus: China kuarantin 8 wilayah


PIHAK berkuasa China dilapor telah mengambil langkah lebih ekstrem dalam membendung penularan wabak koronavirus atau turut dikenali sebagai virus Wuhan.

Selepas pengasingan (kuarantin) diistihar di wilayah Yuhan, China turut melaksana sekatan perjalanan keluar masuk ke 8 bandar di negara itu dengan membabitkan lebih 20 juta penduduk.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata sekatan terbaharu itu melibatkan Huanggang, Ezhou, Chibi, Xiantao, Qianjiang, Zhijiang dan Lichuan.

“Kami telah berkomunikasi rapat dengan pejabat diplomatik Malaysia di China dalam memantau perkembangan dan memastikan bantuan konsular diberi kepada rakyat Malaysia yang memerlukan.

“Dalam hal ini, Kedutaan Malaysia di Beijing telah menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan untuk memberikan bantuan kepada rakyat Malaysia di kawasan terjejas,” menurut kenyataan dari wisma putra itu.

Penularan


Sebagai rekod, wabak ini dikesan pada 31 Disember tahun lalu. Setakat pagi tadi, angka kematian telah meningkat kepada 25 orang dengan bilangan kes dilaporkan melonjak 830 kes.

Penularan wabak itu kini ditahap membimbangkan, dengan beberapa kes turut dilaporkan Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Taiwan dan Singapura.

Pada Selasa, Amerika Syarikat mencatatkan kes pertama wabak ini.

Melalui satu kertas kajian yang diterbitkan oleh Journal Of Medical Virology, wabak yang sedang melanda Tanah Besar China ini didakwa berpunca daripada daging binatang di pasar eksotik di Wuhan.

Pegawai kesihatan China yang dipetik laporan media mengenal pasti Pasar Huanan Seafood yang menjual pelbagai daging haiwan eksotik di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi dimana penyebaran wabak ini bermula.

Antara haiwan-haiwan yang terdapat di pasar basah tengah bandar Wuhan ini adalah musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak, unta dan banyak lagi.

Pihak berkuasa percaya, wabak ini bermula dari ular kepada manusia.

Ambil langkah pencegahan

Sementara itu, pihak berkuasa Malaysia menggesa rakyat negara ini mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak dari dijangkiti wabak yang mudah berjangkit ini. 

“Rakyat Malaysia yang tinggal atau mengembara ke kawasan terjejas dinasihatkan untuk memberi keutamaan kepada kesihatan dan keselamatan diri mereka dengan mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

“Ini termasuk mengelakkan tempat-tempat awam dan mendapatkan rawatan perubatan segera sekiranya mengalami gejala seperti demam, batuk atau kesukaran bernafas dalam masa 14 hari selepas pulang dari kawasan terjejas,” menurut kenyataan itu.

Post a Comment

0 Comments