Zaman ancam media dah berlalu, kata Ahli Parlimen

 


MEDIA merupakan bahagian penting bagi memastikan demokrasi berfungsi dan ia tidak boleh lagi disekat atau diancam demi melindungi parti politik korup, tegas seorang Ahli Parlimen.

Lim Lip Eng (HARAPAN-Kepong) berkata begitu sebagai mengulas laporan media bahawa Umno mengemukakan saman pemula kepada dua media susulan dakwaan mengeluarkan berita fitnah terhadap parti politik berkenaan.

Melalui satu kenyataan, beliau mengingatkan Umno bahawa sikap mengancam media sudah lama berlalu.

“Sekiranya berlaku mana-mana berita palsu dikeluarkan media, Umno sepatutnya mengarahkan ahlinya membuat aduan kepada pihak berkuasa berkaitan, seperti polis atau Kementerian Komunikasi dan Multimedia, bukan menyaman media kerana fitnah,” katanya dalam kenyataan.
 
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki pada Selasa memberitahu bahawa parti itu memulakan saman pemula kepada Malaysiakini dan Astro Awani kerana menerbitkan “berita fitnah”  dalam portal mereka.

Ia berhubung dakwaan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob didesak untuk membubarkan Parlimen atau dipecat dari parti itu dan kononnya Naib Presiden itu pada mesyuarat ketua bahagian Umno telah didesak supaya campur tangan dalam kes SRC dihadapi Najib Razak.

Sementara itu Lim mengingatkan bahawa semua pihak perlu mempertahan kebebasan media.

Memetik penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 2021 bahawa tujuh panel hakim bersetuju bahawa dengan peguam Gopal Sri Ram, yang mewakilinya, bahawa parti politik tidak boleh mengambil tindakan saman fitnah kerana mereka tidak mempunyai “reputasi dengan mengambil kira keputusan Goldsmith v Bhoyrul dan Rajagopal v Jayalalitha.

Perkara berkenaan dibangkitkan ketika membatalkan saman fitnah difailkan bekas setiausaha agung MCA, Ong Ka Chuan pada Julai 2017 bagi pihak MCA terhadapnya.

Justeru tegasnya, tindakan parti politik memulakan saman itu hanya akan membazir masa dan sumber mahkamah.

Sementara itu, Malaysiakini dalam laporannya menegaskan bahawa mereka  mempertahankan laporan berhubung hal ehwal dalaman Umno itu.

Kebebasan media wajar dipertahankan
Ketua Pengarangnya Steven Gan berkata pihaknya akan menjawab surat tuntutan (LOD) yang dihantar.

"Malaysiakini akan berdiri teguh menentang sebarang percubaan untuk menutup mulut atau menakut-nakutkan kami daripada memberikan berita dan pandangan yang penting kepada masyarakat Malaysia," katanya.

Post a Comment

0 Comments