ROSMAH MANSOR telah menguasai Najib Razak dan mempunyai kawalan ke atas bekas Perdana Menteri itu, tegas Hakim Mahkamah Tinggi.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan.dalam penghakiman setebal 116 halaman berkata adalah jelas daripada rakaman audio itu bahawa tertuduh memberi arahan kepada Najib berhubung urusan kerajaan.
Beliau merujuk kepada klip audio "Can I advise you something" antara Najib dan Rosmah yang tular sebelum ini.
"Tertuduh tidak menafikan bahawa suara dalam rakaman audio itu adalah milik beliau dan Najib.
"Tidak kurang daripada tiga saksi iaitu Datuk Rizal Mansor (bekas pembantu Rosmah), bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha kementerian itu Tan Sri Madinah Mohamed, secara positif telah mengenal pasti suara dalam rakaman itu adalah milik Najib serta tertuduh.
"Mereka sudah biasa mendengar suara Najib dan tertuduh. Saya tidak meragui bahawa mereka adalah betul. Tertuduh telah cuba untuk meremehkan perbualan itu dengan mengaitkannya kepada perbincangan biasa di antara suami dan isteri.
"Bagaimanapun, ia bukanlah perbualan biasa antara pasangan suami isteri kerana ia membabitkan urusan kerajaan," katanya.
Pada Khamis lalu, Mohamed Zaini mensabitkan Rosmah dengan tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Susulan keputusan itu, Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah Mansor.
Jika dia gagal menjelaskan denda itu, dia perlu menjalani tambahan hukuman penjara 30 tahun lagi.
Sementara itu Mohamed Zaini berkata nada suara tertuduh juga bersifat memerintah dan bercanggah dengan dakwaannya bahawa beliau mematuhi larangan Najib untuk tidak mencampuri urusan kerajaan.
“Saya menyatakan perkara ini dengan penuh rasa hormat namun adalah jelas bahawa tertuduh menguasai Najib. Beliau mempunyai kawalan ke atasnya.
"Beliau tidak berhak untuk campur tangan dalam tugas Najib atau urusan kerajaan, tetapi beliau telah melakukannya,” kata hakim itu dipetik laporan media.Rosmah tak layak campur tangan urusan kerajaan
Beliau juga berkata Rizal bercakap benar apabila menyatakan bahawa tertuduh mempunyai sikap suka menguasai orang lain dan berupaya mempengaruhi keputusan dalam perkhidmatan awam kerana sudah lama bekerja dengannya serta mungkin telah menyaksikan sendiri perkara ini.
0 Comments