BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik melahirkan rasa syukur apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion terhada Rosmah Mansor.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Maszlee berkata pendedahan dan apa yang dibawakan olehnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta polis mengenai isu projek solar hibrid pada 2018 telah terbukti benar.
Kezaliman mengambil hak anak-anak Malaysia di Sarawak yang bergelut dengan kepayahan demi menimba ilmu jelasnya telah terbalas.
“Alhamdulillah, kebenaran akhirnya tertegak, keadilan akhirnya terlaksana.
“Saya rasa bersyukur kerana apa yang saya dedahkan dan bawakan kepada pihak SPRM dan polis mengenai isu ini pada tahun 2018 ketika di KPM hari ini telah terbukti. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.
Sebagai rekod, Maslee, bekas Ahli Akademik yang kemudian menjadi Ahli Parlimen mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) mengetuai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai menteri apabila kerajaan Umno-BN tumbang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Pada Khamis lalu, Rosmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak disabitkan bersalah dan di hukum penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.
Harap sinar baru buat Malaysia lebih bersih |
Hukuman walau bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan.
Sementara itu Maszlee berharap agar lebih ramai koruptor dan kleptokrat akan menerima hukuman setimpal dengan jenayah mereka.
“Semoga ada sinar buat Malaysia yang lebih bersih,” ujarnya dalam hantaran itu.
0 Comments