TIMBALAN ketua menteri Sabah Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad diperintahkan membela diri atas pertuduhan rasuah dan subahat berkait pelaburan Felcra bernilai RM150 juta.
Perintah itu disampaika hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob hari ini setelah pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pasangan itu.
Bung, 64, yang merupakan Ahli Parlimen Umno mewakili Kinabatangan berdepan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai suapan mendapatkan kelulusan Felcra bagi pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau dituduh menerima rasuah dari Madhi melalui Zizie pada 12 Jun 2015 dan menerima rasuah RM337,500 dari Norhaili, atas nama Zizie bagi perkara sama pada 19 Jun 2015.
Zizie, 44, berdepan tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, berkata Bung mendapat kelulusan daripada kerajaan melabur RM150 juta dalam unit amanah, namun Zizie yang memperoleh wang.
Madhi dan Norhaili dianggap sebagai saksi belot susulan memberi keterangan tidak konsisten kepada SPRM dan mahkamah.
Dalam penghakiman lisan, Rozina berkata, beliau sedar dan berhati-hati bahawa Madhi dan Norhaili memberi keterangan bercanggah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mahkamah. beliau juga mengambil kira keterangan saksi pendakwaan lain dalam memutuskan Bung dan Zizie membela diri.
“Setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan secara keseluruhan dan hujahan pendakwaan serta pembelaan, saya berpuas hati dan mendapati bahawa kesemua inti pati pertuduhan di bawah Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dipertuduhkan ke atas tertuduh pertama, Bung Moktar telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan pada tahap prima facie,” katanya.
Pendakwa berjaya membuktikan prima facie |
Pasangan itu memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi, dan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Pihak pembelaan akan memulakan kes, pada 23 Sept ini.
0 Comments