Ustaz tuduh Malaysia negara komunis dilapor kepada polis



SEORANG
ahli jawatankuasa Amanah Kawasan Bukit Gantang, Muhamad Nur Ismail, membuat laporan polis terhadap kenyataan oleh individu yang merupakan seorang penceramah, yang mendakwa kerajaan Malaysia diperintah seperti komunis.

Memetik laporan Malaysiakini, laporan itu dibuat di Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, Perak pada semalam.

Muhamad Nur berkata, dia mendapati individu tersebut dalam satu video membuat kenyataan berunsur fitnah yang boleh menyebabkan keadaan tidak tenteram dalam negara.

"Saya membuat laporan ini supaya polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap individu tersebut kerana menghasut rakyat membenci kerajaan dengan tuduhan kerajaan ala komunis, Kerajaan tidak peduli agama Islam dan memerintah seperti komunis.

"Sedangkan kita semua tahu, kerajaan persekutuan sekarang dipilih secara sah melalui mandat rakyat dalam pilihan raya umm lalu," katanya Muhamad Nur.

Semakan mendapati video ceramah oleh individu dikenali sebagai Ustaz Sharkawi itu dimuat naik di sebuah laman Facebook Malaysia Sentral, semalam. Namun semakan semula mendapati ia telah dipadamkan petang tadi.

Rakaman video berdurasi 16 minit yang dipercayai dibuat atas pentas politik itu tidak dapat dipastikan sama ada ia disunting atau tidak. Antara ucapan individu tersebut berbunyi:

"Hari ini kita kena sedar bahawa negara kita adalah negara komunis, kita bukan diperintah oleh mereka yang mengaku diri mereka sebagai pemimpin Islam, yang mengaku mereka adalah pemimpin rakyat Malaysia tetapi mereka adalah pemimpin komunis dan mementingkan bangsa mereka untuk menghancurkan negara kita Malaysia.

"Kita kena sedar negara kita adalah negara komunis," katanya seperti dipetik dalam video tersebut.

Sementara itu, Muhamad Nur menyifatkan dakwaan 'ustaz' itu sebagai sangat melampau dan berniat jahat untuk menghasut orang ramai mendengar ucapan dan mempercayai hasutannya.

Malah apa yang lebih membimbangkan ialah tuduhan itu boleh menyebabkan ketegangan dan keresahan di kalangan rakyat.

"Kita berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan tindakan sewajarnya di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, Pemuda Amanah Kelantan turut dilapor membuat laporan berhubung ucapan berbaur hasutan itu kepada pihak berkuasa polis.

Post a Comment

0 Comments