PASUKAN Sapura Cycling menepati ramalan apabila menguasai perlumbaan peringkat pertama Tour de Selangor (TdS) 2019 semalam.
Pelumba pasukan itu, Marcus Culey tidak dapat dicabar apabila melakukan kayuhan solo ketika perlumbaan berbaki 20 kilometer sebelum penamat di Batang Kali.
Pencapaian semalam turut membolehkan pelumba berusia 26 dari Australia itu menyarung semua tiga jersi utama perlumbaan iaitu jersi kuning selaku juara keseluruhan, jersi hijau sebagai raja pecut dan juga jersi polka dot (raja bukit).
"Peringkat hari ini adalah peringkat yang sukar, ditambah dengan hujan. Suhu agak panas tetapi ia adalah baik bagi perlumbaan berbasikal. Saya berlatih di Melbourne minggu lalu dan saya memberi penekanan terhadap kekuatan kayuhan.
"Saya rasa saya sudah melakukan persiapan baik, jadi saya rasa saya dapat datang ke sini dengan keadaan bagus," kata Culey sebaik menamatkan perlumbaab jauh 176.9 km bermula dari Pulau Indah itu.
Sementara itu, Sapura turut melengkapkan dominasi peringkat pertama semalam apabila pelumbanya, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff, 22, yang menamatkan saingan di tempat ketujuh hari ini seterusnya menyarung jersi putih selaku pelumba muda terbaik.
Kejayaan pelumba Sapura meletakkan mereka selaku pasukan terbaik keseluruhan dengan catatan masa 12:38.33s di hadapan Bikelife Dong Nai di tempat kedua dengan perbezaan 39s diikuti Terengganu Inc Cycling Team (TSG) dengan perbezaan 7:42s di belakang Sapura.
Peringkat kedua TdS akan bermula dari Sungai Buloh ke Kajang dengan pelumba akan menempuhi perjalanan 159.4km esok.
0 Comments