KEADILAN buktikan komitmen iktiraf kepimpinan wanita

PARTI KEADILAN RAKYAT (KEADILAN) telah membuktikan komitmen parti itu mengangkat kepimpinan wanita dalam laras pengurusan dan pentadbiran.

Ketua Wanitanya, Fadhlina Sidek berkata, ia dapat dilihat melalui pelantikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh sebagai Setiausaha Agung KEADILAN yang baharu menggantikan Datuk Seri Saifuddin Nasution.

"Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung penghargaan dan tahniah kepada dua guru siyasah dalam parti keramat ini. Kedua-dua tokoh ini iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Fuziah Salleh, merupakan figura penting dalam KEADILAN yang telah mengharungi pelbagai mehnah dan tribulasi perjuangan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Justeru Fadhlina melalui hantaran sama turut menegaskan sayap parti yang dipimpinnya akan terus mendukung agenda pengukuhan dan memperkemas gerak kerja demi manfaat sejagat.

Sebelum ini Saifuddin dilapor melepaskan jawatan Setiausaha Agung KEADILAN bagi menumpukan usaha beliau sebagai Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), anggota Biro Politik KEADILAN dan ahli Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Ia berikutan penyusunan semula beberapa jawatan penting yang diputuskan oleh mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu baru-baru ini dalam usaha untuk memantapkan gerak kerja mereka.

Pada Isnin, Ketua Wanita PH, Datuk Aiman Athirah Sabu sebagai mengulas menyifatkan pelantikan itu menyifatkannya sebagai langkah tepat yang ditunggu-tunggu, terutama dalam memberikan kepercayaan kepada kepemimpinan wanita pada peringkat yang lebih holistik, inklusif dan progresif.
 
 

Post a Comment

0 Comments