Senarai kenderaan mewah Zahid didedahkan di Mahkamah


SENARAI kenderaan mewah dimiliki Ahli Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid Hamidi dan jumlah keseluruhan cukai jalan tahunan kesemua kenderaan itu didedahkan di mahkamah.

20 kenderaan itu yang kebanyakan adalah kenderaan jenis mewah berprestasi tinggi yang bernilai ratusan ribu ringgit dengan cukai jalan antaranya hampir mencecah RM6000 setahun.

Hampir kesemuanya telah didaftar atas nama presiden Umno itu. 

Memetik Malaysiakini, hampir semua kenderaan itu didaftarkan dengan nombor pendaftaran 38.

Kenderaan yang didaftarkan sendiri atas nama Ahmad Zahid termasuklah Toyota Vellfire (dua unit), dua unit Lexus termasuk satu model LX 460 , BMW 320i, Chrysler Jeep Wrangler, Audi Q7 dan Honda Odyssey.

Motosikal mewah dan kapcai yang didaftarkan atas nama Ahmad Zahid pula ialah dua unit Harley Davidson, tiga unit motosikal mewah BMW (tiga unit- model R 1200 GS, R 1200 RT dan C 600), Ducati Diavel Carbon, dan Honda C100.

Sementara itu beberapa kenderaan didaftarkan atas isteri Ahmad Zahid, Hamidah Khamis ialah kereta Mercedez Benz CLS 350 dan MPV Toyota Vellfire, serta dua motosikal Ducati Hypermotard dan Kawasaki KLX250 V.

Satu SUV mewah Toyota Land Cruiser pula telah didaftarkan atas nama Juhari Janan, yang pernah berkhidmat sebagai pegawai khas Ahmad Zahid.

Cukai jalan perlu dibayar bagi keseluruhan itu ialah sebanyak  RM35,726.80 setahun

Penolong Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya, Zaharudin Zainuddin dalam pernyataan bertulisnya mengesahkan dokumen maklumat kenderaan-kenderaan tersebut semasa dirujuk kepadanya oleh timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt, di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. 

Zahid dituduh menyeleweng kira-kira RM31 juta dana milik Yayasan Akalbudi.  Dia berdepan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT), lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yayasan itu.

Pihak pendakwaan sebelum ini mendakwa, jejak aliran tunai mendapati satu amaun besar daripada dana itu digunakan untuk, antara lain, membayar bil kredit kad peribadi, membeli polisi insurans kenderaan-bermotor dan membeli cukai jalan untuk kenderaan milik peribadi.

Post a Comment

0 Comments