Sempat henti kereta dipandu sebelum meninggal


SEORANG pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) sempat menghentikan kereta dipandunya sejurus sebelum meninggal dunia.

Memetik laporan Awani, mangsa dikenali sebagai Din Abdullah,66, sebelumnya memandu kereta dalam perjalanan  dari Setiu ke Batu Rakit.

Din dan seorang rakannya yang berusia 64 tahun sebelumnya dilapor dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Mengabang Telong selepas memesan bekalan arang.

Tambah portal itu lagi, mangsa sebelumnya mengadu dahaga, berhenti di tepi jalan dan meminta rakannya untuk menggantikannya.

Bagaimanpun, dia kemudiannya meneruskan perjalanan sebelum kenderaan berkenaan terhenti apabila mangsa tidak sedarkan diri.

Rakan mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan bergegas meminta bantuan penduduk berhampiran dan menghubungi ahli keluarga mangsa.

Seorang saksi kejadian, Azhari Alias, 43 tahun berkata dia melihat kereta itu dipandu sangat perlahan sebelum rakan mangsa memaklumkan mengenai kejadian itu.

"Saya nampak dia, di depan kedai depan rumah tu. Dia berhenti kereta, dan kawan dia minta tolong dan saya pergi ke situ.

"Saya tengok dah tak ada dah (meninggal dunia). Biru habis dah kaki dan tangan, tetpai dia sempat berhentikan kereta," katanya dipetik.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Burhanuddin Mustafa ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Jenazah kemudiannya dihantar ke unit forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut. Mangsa dipercayai meninggal akibat serangan jantung.

Post a Comment

0 Comments