TAUFAN Kammuri yang melanda Filipina telah meragut sekurang-kurangnya dua nyawa.
Ia turut menyebabkan lapangan terbang di Manila terpaksa ditutup selain merosakkan beberapa rumah penduduk.
Pengurus besar lapangan terbang, Ed Monreal memberitahu AFP bahawa, angin kuat mengakibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila terpaksa menutup operasinya.
Katanya, beliau belum pasti bila penerbangan akan bersambung semula, tetapi pihak berkuasa menganggarkan ia akan beroperasi jam 11 malam ini dan keputusan itu juga bergantung kepada keadaan cuaca.
Hampir 500 penerbangan dibatalkan dan pegawai bertugas memberi amaran kepada penumpang supaya tidak datang ke lapangan terbang itu
Turut terjejas adalah sebuah lapangan terbang kecil di Mindaro.
“Sebahagian besar pokok tumbang dan banyak bumbung diterbangkan angin semasa taufan melanda,” kata pegawai bencana, Junie Castillo.
Di Mindaro juga, seorang lelaki maut selepas ditimpa pokok dan seorang lagi terkena kayu yang diterbangkan angin ribut.