Pencipta bersama kod bar tutup usia


PENCIPTA
bersama Kod Produk Universal (UPC) atau kod bar, George J Laurer meninggal dunia.

AFP dalam laporannya berkata, Laurer meninggal dunia di kampung halamannya di Wandell, North California dan telah dikebumikan pada minggu lalu.

Sebagai rekod, Laurer merupakan kakitangan syarikat komputer IBM. Pada tahun 1969, Laurer menjadi jurutera dan saintis kanan syarikat itu di Raleigh.

Pada asalnya, idea penciptaan kod yang mampu mengimbas jutaan produk, perkhidmatan dan barangan lain sehingga mengubah hampir setiap industri di dunia dimulakan seorang rakan sekerjanya,

Seorang lagi kakitangan IBM, Norman Woodland yang meninggal dunia pada 2012 dianggap sebagai perintis idea kod bar berdasarkan kod Morse.

Woodland mempatenkan konsep tersebut pada tahun 1952 namun tidak dapat dibangunkan kerana teknologi laser dan komputer masih mundur.

Bagaimanapun 20 tahun kemudian, Laurer memperbaiki idea berkenaan dan membangunkan pengimbas yang boleh membaca kod secara digital.

Pada tahun 1973, IBM melancarkan produk itu dan urus niaga kod bar pertama berlaku pada 26 Jun tahun berikutnya di sebuah pasar raya di Troy, Ohio.

Produk pertama diimbas adalah sebungkus gula-gula getah Juicy Fruit Wrigley yang kini dipamerkan di National Museum of American History di Washington.

Laurer meninggal dunia pada usia 94 tahun.

Post a Comment

0 Comments