Lembaga disiplin KEADILAN 'rayu' pro- Azmin hadir mesyuarat


AHLI Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN yang menandatangani memo menolak pemecatan Zakaria Abdul Hamid baru-baru ini dirayu hadir ke mesyuarat majlis tertinggi parti itu bagi membela Zakaria.

Pengerusi Lembaga Disiplin parti itu, Datuk Ahmad Kassim berkata, sebarang usaha menolak keputusan pemecatan itu boleh dilakukan dalam mesyuarat MPP dan bukan di luar mesyuarat.

Gesaan itu dibuat Ahmad Kassim susulan satu memo menolak pemecatan Ketua Cabang Bera itu yang didakwa ditandatangani 20 orang MPP.

"Saya merayu semua yang tandatangan memo tersebut untuk hadir mempertahankan pandangan tersebut dalam mesyuarat MPP akan datang. Untuk pinda atau semak semula keputusan perlu dibuat dalam mesyuarat MPP bukan di luar mesyuarat.

"Bagaimanapun, kita menerima baik memorandum yang dihantar dan ia (memorandum) akan diteliti dalam mesyuarat Lembaga Disiplin akan datang. Kita juga akan membuat syor pada MPP akan datang.

"Lagipun, keputusan pemecatan itu adalah keputusan MPP (Majlis Pimpinan Pusat), bukan keputusan Lembaga Disiplin atau Presiden," katanya bagi mengulas berhubung memo bertajuk 'Pemecatan Zakaria Abdul Hamid Sebagai Ahli MPP Keadilan Adalah Tidak Sah' bertarikh hari ini yang ditujukan kepada Lembaga Disiplin PKR.

Sebagai rekod, antara individu yang menandatangai memo itu ialah Mohammed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

Kedua-dua mereka sebelum ini dilapor 'ponteng' mesyuarat MPP sehingga satu amaran supaya mereka hadir telah dikeluarkan, malah media sebelum ini melaporkan, Azmin yang dikaitkan dengan usaha mewujudkan kerajaan "pintu belakang' tidak pernah hadir mesyuarat sebaik dilantik semula sebagai Timbalan Presiden.

Individu lain yang menandatangani memo itu Tian Chua, R Sivarasa, Amiruddin Shaari, Datuk Mohd Rashid Hasnon,  Rahimah Majid, Elizabeth Wong, Datuk Saifuddin Abdullah, Radzlan Jalaluddin, Datuk Dr Mansor Othman, Datuk Kamaruddin Jaafar, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei, Hee Loy Sian, Datuk Seri R Santhara Kumar.

Zakaria yang dipecat dari parti itu turut menandatangani memo menolak pemecatan itu.

Baru-baru ini timbul pertikaiaan berhubung isi kandungan memo itu, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Tian dan Sivarasa menafikan bersetuju terhadap sebahagian isi kandungan dalam memo berkenaan yang menurut mereka tiada didalam draf.

Post a Comment

0 Comments