Kisah Si Kitol, mengapa Azmin terasa?


KENYATAAN Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali yang menyalahkan tindakan Anwar menyorot kisah Si Kitol dalam ucapan dasarnya dilihat cukup menghairankan.

Tidak jelas mengapa Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dan penyokongnya merasa cukup terasa sehingga bertindak keluar dewan pada Kongres di Melaka.

Datuk Seri Anwar kitika ditanya pemberita berhubung tindakan Azmin dan penyokong itu berkata, sekiranya Azmin terasa dengan ucapan yang mengupas sikap watak sejarah dalam kisah Melayu itu, ia masalah Azmin dan bukan masalah orang lain.

Tegas Anwar, beliau hanya mahu merujuk watak yang digambarkan sebagai pembelot yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Melaka di tangan Portugis dan bukan mensasarkan kepada Azmin.

“Apa kena mengena dengan Si Kitol? Dia terasa, itu masalah dia. Itu kenyataan sejarah,” katanya kepada pemberita.

Sebelum itu, Azmin dan sekutu pada sidang media berasingan di sebuah hotel menyuarakan rasa tidak puas hati dengan ucapan dasar Anwar dan perwakilan lain di kongres itu.

Menurut Azmin, ucapan Anwar yang menyorot kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar jelas membuka laluan kepada para pembahas yang lain untuk melakukan serangan peribadi.

Turut hadir pada sidang media itu Naib Presiden Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Ali Biju, Ketua Wanita Haniza Talha dan timbalannya, Daroyah Alwi, dan Timbalan Ketua Pemuda, Hilman Idham.

Pada kongres kali ini, kebanyakkan perwakilan mengkritik sikap pemimpin yang merebut jawatan, termasuk dengan mengadakan rundingan rahsia bersama pemimpin dari parti musuh.

Sementara itu, ketika mengulas isu kandungan ucapan dibawakan perwakilan, Anwar berkata pimpinan KEADILAN  tidak boleh kawal perbahasan kongres.

“Kita hanya boleh nasihat (perwakilan)…tetapi sampai tak boleh tegur (pemimpin), macam mana? Perwakilan tegur (pemimpin) tak datang mesyuarat, saya nak larang (teguran) macam mana?”

“Saya dah bagi nasihat dalam ucapan dasar, jadi terpulang kepada perwakikan. Nak kawal semua ucapan, susahlah,” tambahnya.

Post a Comment

0 Comments