Hari ini dalam sejarah, kes Najib jadi tumpuan


HARI
ini, rakyat Malaysia akan menyaksikan sejarah apabila julung kalinya seorang bekas Perdana Menteri dihadapkan ke Mahkamah bagi membela diri.

Najib Razak, 66 akan memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bagi menjawab tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Bekas Presiden Umno itu dilapor terlebih dahulu akan disoal oleh peguamnya semasa pemeriksaan utama dan kemudian pemeriksaan balas oleh pihak pendakwa.

Pada 11 November, Hakim Mohd Nazlan memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana itu.

Perintah membela diri itu setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib.

Sebagai rekod, Najib yang berkhidmat sebagai perdana menteri keenam Malaysia mulai April 2009 hingga Mei 2018, merupakan perdana menteri pertama di negara ini yang menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Tujuh kesalahan yang dikenakan terhadap Najib didakwa dilakukan antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.


Tiga pilihan


Bernama dalam laporannya berkata, Hakim dalam penghakiman sebelum ini antara lain memutuskan bahawa Najib telah menggunakan kedudukannya untuk ganjaran dan menggunakan dana SRC sebanyak RM42 juta, yang beliau mempunyai kepentingan untuk kepentingan peribadi dan manfaat sendiri.

Hakim juga mendapati Najib mempunyai pengaruh yang besar di samping kuasa penuh dalam SRC dan pihak pendakwaan berjaya dalam membuktikan bahawa terdapat unsur-unsur pecah amanah (CBT) oleh Najib melibatkan dana syarikat itu.

Mengenai pertuduhan pengubahan wang haram, Hakim Mohd Nazlan memutuskan bahawa RM42 juta dalam akaun Najib adalah hasil satu perbuatan menyalahi undang-undang, sebagaimana yang dibuktikan dalam pertuduhan CBT.

"Oleh itu, terdapat kes prima facie terhadap tertuduh berkenaan dalam setiap tuduhan penggunaan kedudukan untuk suapan, tiga tuduhan pecah amanah dan tiga tuduhan pengubahan wang haram.

"Oleh itu, kini saya mengarahkan tertuduh untuk membuat pembelaan berhubung semua tujuh pertuduhan,” katanya.

Difahamkan, Najib kini mempunyai tiga pilihan untuk membela diri.

Pilihan itu adalah memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi, yang mana beliau tertakluk kepada pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan; keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh (memberi keterangan dari kandang tertuduh); dan pilihan terakhir adalah berdiam diri.

Keterangan dari tempat duduk saksi akan lebih meyakinkan mahkamah berbanding dua pilihan lagi. Jika tertuduh memilih untuk berdiam diri, mahkamah tiada pilihan melainkan mensabitkan tertuduh.

Sebelum ini kes terbabit telah dibicarkan selama 58 hari perbicaraan dengan 57 saksi dipanggil memberi keterangan.

Sepanjang perbicaraan itu, pendakwaan mengemukakan lebih 750 ekshibit, termasuk dokumen bank yang berkait dengan akaun Najib, urus niaga tunai, minit mesyuarat dan perbualan Blackberry Messenger mengenai transaksi akaun Najib.
 

Post a Comment

0 Comments