Zahid mahu jadi penandatangan tunggal akaun bank - Saksi


PEMIMPIN Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengasas Yayasan Akalbudi telah memohon menjadi penandatangan tunggal akaun bank bagi Yayasan itu.

Perkara itu didedahkan Bekas pengurus Affin Bank Cawangan Jalan Bunus, Massayu Mohd Ariffin di Mahkamah Tinggi semasa prosiding pecah amanah membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Tambah saksi pendakwaan ketiga itu, berdasarkan dokumen bertajuk 'Borang Kemaskini Tandatangan Bagi Yayasan Akalbudi', ia menunjukkan bahawa Ahmad Zahid memohon untuk mengemaskini sebagai penandatangan tunggal dalam satu akaun di bank itu.

Permohonan berkenaan dikemukakan kepada bank itu pada 20 Jun 2013.

Sebagai rekod, Massayu juga merupakan Authorized Signature bagi Banker's Cheque yang dikeluarkan oleh Affin Bank, cawangan Jalan Bunus, Kuala Lumpur.

BACA: Bekas rakan dakwa Zahid arah tandatangan cek kosong

BACA: TPR dakwa Zahid bayar roadtax guna dana orang miskin

Sementara itu Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Salma Hanum Ibrahim, 39, memberitahu mahkamah bahawa Yayasan Akalbudi tidak pernah menyerah simpan penyata tahunan dan kewangan Yayasan Akalbudi kepada SSM semenjak ia ditubuhkan pada 1997.

Saksi pendakwaan kedua itu berkata, ia berdasarkan semakan sistem SSM iaitu CBS-ROC pada 24 Dis 2018.

Ahmad Zahid, 66, berdepan 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pertuduhan-pertuduhan tersebut dijalankan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (CBT), Seksyen 16 (1)(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2019 (rasuah), dan Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfapua).


Tahun lalu, media dalam satu pendedahan melaporkan semakan terhadap premis yayasan diterajui Zahid itu yang dialamatkan di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru seperti dinyatakan dalam rekod SSM membawa kepada penemuan satu tapak lapang kosong tanpa bangunan.

Post a Comment

0 Comments