PENUNGGANG pasukan Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT) dijangka bakal menunjukkan prestasi lebih baik tahun hadapan.
Ia susulan khabar angin bahawa mereka bakal menggunakan jentera spesifikasi penuh seperti digunakan Maverick Vinales yang menunggang bagi pasukan 'factory'- Monster Energy Yamaha MotoGP.
Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli sebelum ini disebut-sebut akan menguji jentera spesifikasi 2020 secara penuh dalam ujian rasmi MotoGP yang sedang berlangsung di Litar Jerez hujung minggu ini.
Awal minggu ini, kedua-dua mereka mencatatkan masa yang cukup baik untuk berada di kedudukan kedua dan ketiga dibelakang pelumba 'factory' itu walaupun mereka menggunakan spesifikasi 'separa penuh' dalam ujian rasmi di Litar Ricardo Tormodi Valencia.
"Dalam ujian, Quartararo dan Morbidelli melakukan yang terbaik walaupun Maverick agak laju dengan jentera 2020.
"Di Valencia (Ricardo Tormo), pasukan menggunakan casis baharu, semua baharu kecuali enjin saja yang lama. Untuk di Jerez nanti, semua akan menggunakan (spesifikasi) 2020." kata Prinsipal Pasukan, Datuk Razlan Razali dalam satu temubual di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Jumaat.
PETRONAS Yamaha SRT adalah pasukan satelit (kedua) kepada Yamaha dengan Monster Energy Yamaha MotoGP yang dibarisi Vinales dan Valentino Rossi selaku pasukan utama pengeluar motosikal berkenaan.
Di Grand Prix (GP) Malaysia baru-baru ini, pasukan membuat pengumuman yang kedua-dua pelumbanya bakal menggunakan jentera YZR-M1 spesifikasi A bagi musim depan - setara seperti pasukan pengeluar, Monster Energy Yamaha MotoGP.
Sebelum itu, hanya Morbidelli yang menerima spesifikasi A, sama seperti pasukan pengeluar pada 2019 manakala Quartararo yang muncul selaku pelumba muka baharu (rookie) terbaik MotoGP menggunakan jentera spesifikasi B.
pada musim 2019, pasukan tersebut membuat kejutan apabila merangkul anugerah pasukan setelit terbaik. Manakala pelumbanya, Quartararo merangkul gelaran Rookies of The Years.
0 Comments