PELUMBA pasukan PETRONAS Yamaha SRT, Fabio Quartararo sekali lagi meraih petak pertama perlumbaan MotoGP. Keenam untuk musim ini.
Pelumba Perancis itu yang dinobatkan sebagai Rookies Of The Year (ROTY) baru-baru ini akan memulakan perlumbaan di Grand Prix Valencia dihadapan Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda.
Pada sesi kelayakan semalam, Quartararo mendominasi litar mencabar Ricardo Tormo sepanjang 4 kilometer. Beliau mencipta masa 1.29.978 untuk berada 0.032 saat lebih pantas berbanding Marquez.
Sementara itu, pelumba Ducati, Jack Miller melengkapkan barisan hadapan untuk berada di kedudukan ke 3 permulaan perlumbaan esok.
Bercakap kepada media, Quantararo berkata, matlamatnya pada perlumbaan di Valencia adalah untuk berada diatas podium.
"Matlamat utama esok adalah untuk mendapatkan tiga pusingan pertama yang baik, sasarannya adalah podium," katanya.
Sementara itu pelumba Malaysia, Hafizh Syahrin yang akan membuat persembahan terakhir dalam kejuaraan motoGP akan memulakan perlumbaan di kedudukan ke-22.
Beliau yang hanya mencatatkan masa 1.31.839 akan kembali dalam persaingan kelas Moto2 pada musim hadapan.
0 Comments