POLIS sedang memburu seorang lelaki yang membuat ancaman mahu meletupkan Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini menggunakan bom C4.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, suspek tersebut menghubungi Balai Polis Pulau Tikus dan bercakap dengan seorang anggota polis kira-kira jam 3.30 petang.
Suspek itu secara tiba-tiba katanya memaki hamun anggota terbabit dengan pelbagai perkataan kesat.
Difahamkan tindakan itu dibuat susulan rasa tidak puas hati dengan tindakan pihak berkuasa itu kerap melakukan penahanan.
"Lelaki itu pada mulanya memarahi anggota polis yang menjawab panggilan telefon itu kerana polis kerap menahan orang dan dia turut memaki anggota terbabit dengan pelbagai perkataan kesat," katanya.
Tambah Che Zaimani sebelum meletakkan telefon, suspek sempat mengugut untuk meletupkan IPD Timur Laut menggunakan C4 kerana mahu melihat semua anggota polis mati.
Beliau berkata, polis kini sedang mengesan suspek terbabit bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
0 Comments