PIHAK berkuasa polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes kecurian yang dilaporkan berlaku di paddock MotoGP semalam.
Memetik laporan Bernama, jurucakap polis berkata, lapoan itu diterima dari Bahagian Keselamatan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
“Memang ada satu laporan polis yang dibuat oleh Bahagian Keselamatan SIC tapi tak dinyatakan secara terperinci barang yang hilang,” katanya pihak polis.
Semalam sebuah portal melaporkan kem pasukan perlumbaan Angel Nieto dimasuki pencuri dipercayai pada awal pagi Jumaat, antara pukul 1 hingga 5 pagi, dalam keadaan cuaca hujan lebat.
Difahamkan, antara komponen yang dicuri termasuk set lengkap penyerap hentak, angkup dan cakera brek, komputer riba, alat bengkel dan pemanas tayar jentera Moto2 dan Moto3.
Pengurus pasukan Angel Nieto, Gino Borsoi dipetik berkata, spring untuk fork dan penyerap hentak belakang turut dicuri.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali melahirkan rasa kecewa atas kejadian itu.
Ia tegasnya telah memberi gambaran negatif terhadap SIC dan Malaysia khususnya.
"Saya kecewa dengan insiden ini sebab kita sudah buat persediaan teliti dengan kerjasama pihak DORNA (pemegang hak penganjuran MotoGP) untuk menjaga keselamatan bukan sahaja terhadap pelumba tetapi harta benda mereka.
"Saya begitu marah kerana kita bersedia sepenuhnya namun ada pihak buat perkara ini untuk memburukkan nama negara dan nama litar yang kita anjurkan sukan bertaraf dunia," katanya pada media di Litar Sepang.
0 Comments