Pengasas www lancar pelan halang salah guna internet


PENGASAS World Wide Web (www), Tim Berners-Lee dilapor melancarkan apa yang dipanggil 'Kontrak untuk Web'

Memetik laporan AFP, pelancaran kontrak itu bertujuan untuk menghentikan penyalahgunaan internet oleh kerajaan, syarikat dan individu.

"Kita harus bertindak sekarang dan bertindak bersama-sama untuk mengelakkan web terus disalahguna oleh mereka yang ingin mengeksploitasi," katanya dipetik.

Berners-Lee berkata, kontraknya yang dibangunkan dengan kerjasama puluhan pakar dan orang awam merupakan satu pelan tindakan untuk laman sesawang internet dapat dibina dengan lebih baik.

Sementara melancarkan kontrak itu, Berner juga membuat gesaan supaya kerajaan menguatkan undang-undang dan peraturan berkaitan untuk memastikan usaha mencari keuntungan tidak mengorbankan hak asasi manusia serta demokrasi.

Difahamkan, lebih 150 organisasi termasuk syarikat seperti Google, Microsoft dan Facebook telah menyatakan sokongan terhadap pelan dinyatakan Berners-Lee.

Pengumuman dokumen akhir Berners-Lee dibuat ketika pemimpin kerajaan, ahli perniagaan dan pemimpin masyarakat sivil berkumpul di Berlin selama empat hari untuk Forum Tasbir Urus Internet Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Post a Comment

0 Comments